Monday, June 4, 2012

Penyakit Reput pangkal batang Sawit


1.0 PENGENALAN :
Felda Plantations Sdn. Bhd. Zon Sabah terdiri daripada 49 ladang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 ladang telah dikenalpasti terlibat dengan simptom serangan RPB bagi tahun 2007 dengan 14 ladang adalah di bahagian Lahad datu dan selebihnya adalah ladang FPAB bahagian Tawau .
Lawatan ini adalah tindakan susulan surat yang telah dikeluarkan Jabatan Projek Khas yang bertarikh 16 Julai 2007 Bil: (04) 30/12/01- JPK. Antara perkara penting yang diketengahkan adalah berkenaan program sanitasi bagi kawasan pokok sawit yang telah dijangkitan kulat Ganoderma spp. di ladang yang terlibat dengan program tanam semula 2008. Program ini perlu selesai atau siap menjelang pengakhir tahun 2007 bagi memberi satu jurang masa yang panjang antara program menanam sawit kelak dengan program sanitasi pokok yang terjangkit. Penyakit RPB yang disebabkan oleh kulat Ganoderma boninense serta spesies lain (G.zonatum, G.miniatocinctum dan G.tornatum) merupakan penyakit utama menyerang tanaman kelapa sawit di Malaysia dan kesan Penyakit RPB pada tanaman sawit dapat diperhatikan dalam dua aspek utama iaitu:
1. Secara langsung tanaman sawit tumbang dan mati dan ini akan menyebabkan bilangan pokok bagi seunit kawasan menjadi kurang. Turner (1999), menyatakan penyakit RPB boleh menyebabkan kematian 80% dirian pokok dalam tempoh masa 25 tahun. Kesan kedua ialah;
2. Secara tidak langsung seperti pengurangan hasil buah tandan segar (BTS) bagi seunit kawasan. Keadaan ini berlaku kerana pokok yang diserang penyakit RPB akan mengeluarkan bilangan tandan yang kurang dan saiz tandan yang lebih kecil. Merujuk kepada khairuddin (1993), kawasan tanaman yang teruk diserang RPB, prestasi hasil buah tandan segar boleh berkurangan sehingga 70%.
Antara cara yang efektif dalam menangani penyakit ini ialah dengan menggunakan kaedah sanitasi ketika tanam semula sawit. Sanitasi dengan menggali lubang seluas 1.5m panjang x 1.5m lebar x 1.5m dalam dan tanah di sekeliling diambil untuk menimbus semula lubang. Tisu akar dan tunggul batang dipecah-pecahkan, dibiarkan sehingga reput atau apabila kering dibakar sepenuhnya. Teknik ini dapat menghapuskan inokolum kulat Ganoderma dan menghindar kejadian penyakit ke atas pokok sawit yang baru di tanam. Tanda pokok diserang kulat Ganoderma ialah ia seperti kekurangan zat makanan. Daun akan kekuningan, pokok kelihatan tidak bermaya, pucuk kelihatan layu, hayat pokok semakin singkat dan ia tidak berupaya menghasilkan buah segar seperti yang diharapkan (Idris, 2006).
Adalah dipercayai pembentukkan jasad berbuah mengambil masa 3 hingga 4 bulan dari micelia. Manakala jasad berbuah akan gugur atau mati dalam tempoh 1 hingga 2 bulan selepah kemunculannya (Percakapan dengan Mohd Hefni Rusli, ahli Patologi FASSB).